Sosioekomoni Dan Keusahawanan
Pesawah
Penanaman padi merupakan sektor penting bagi memastikan penghasilan makanan yang mencukupi untuk keperluan Negara dan majoriti penduduk di Bukit Besar, Yan, Kedah ini adalah merupakan pesawah. Memandangkan sektor ini begitu penting dan perlu terus diperkukuhkan, kerajaan menyediakan berbagai insentif dan bantuan kepada sektor ini khususnya kepada pesawah atau pengusaha tanaman padi. Bantuan dan insentif ini diperkenalkan bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran yang ditanggung oleh pesawah. Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah memberi tanggungjawab kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) untuk menyalurkan bantuan-bantuan di bawah Industri Padi. Diantaranya termasuklah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) – Baja Urea dan Sebatian, Insentif Pengeluaran Padi (IPP) – Pembajakan dan Input Pertanian dan Insentif Pengeluaran Beras Negara di bawah Dasar Jaminan Bekalan Makanan (DJBM) – Baja Tambahan NPK, Racun Makhluk Perosak dan Pengapuran. Dengan adanya bantuan-bantuan ini, sedikit sebanyak dapat membantu para petani di kawasan Bukit Besar ini.
Pekan Hari
Di Bukit Besar ini terdapat dua pekan hari iaitu Pasar Pagi yang diadakan pada setiap hari jumaat bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 11.00 tengah hari dan Pasar Malam yang diadakan pada setiap hari isnin bermula jam 4.00 petang sehingga jam 10.00 malam. Jenis perniagaan yang dijual di dua pekan hari ini adalah berasaskan keperluan harian iaitu makanan kering, makanan basah, pakaian dan serba sedikit perkakasan dapur serta perhiasan rumah. Dengan kewujudan dua pekan hari ini, penduduk di kawasan Bukit Besar ini dapat mengambil peluang menceburi bidang perniagaan dan menambah pendapatan dengan berniaga di pekan hari ini. Majoriti peniaga di pekan hari ini adalah penduduk di sekitar Bukit Besar ini.
Usahawan Roti "Kss Indah Rasa"
Perusahaan roti ini merupakan seratus peratus milik bumiputra yang diusahakan oleh Puan Azizah Binti Bakar yang merupakan seorang ibu tunggal di Bukit Besar ini. Beliau sangat gigih menjalankan perusahaan ini bersama dua orang lagi saudaranya. Perusahaan "KSS INDAH RASA" ini telah ditubuhkan pada hujung tahun 2012. Terdapat pelbagai jenis roti yang dihasilkan. Antaranya ialah Roti Ban Kacang, Roti Ban Coklat, Roti Ban Sekaya, Roti Ban Ikan Bilis, Roti Ban Kelapa, Roti Pizza, Kueh Bahulu, Kueh Bakar, Kueh Mazola dan juga Cup Cake. Produk-produk keluaran KSS INDAH RASA ini mendapat sambutan yang sangat baik dari penduduk setempat dan kawasan sekitar kerana rasanya yang sedap dan rotinya yang lembut. Antara kawasan pemasaran produk KSS INDAH RASA ini ialah Kota Sarang Semut, Pendang dan Yan.
Kilang Beras
Selain daripada menjadi pesawah, penduduk di kawasan Bukit Besar ini juga ramai yang bekerja di sektor perkilangan iaitu Kilang Beras memandangkan di kawasan Bukit Besar ini terdapat banyak kilang beras. Antaranya ialah Kilang Beras Bernas, Kilang Beras Kedah Ghee Seng dan Kilang Beras Seng Wor. Dengan adanya kilang-kilang beras ini, sedikit-sebanyak dapat memberi sumber rezeki bagi penduduk di kawasan Bukit Besar ini dengan bekerja di kilang-kilang tersebut.